[[ Asma'ul Husna ]]

12.27.2010
bismillah Pictures, Images and Photos


Salam terakhir

Sebenarnya aku tak betah untuk melakar coretan ini
di sini. Mindaku minta tangguh untuk merakam hasil
penemuan deriaku yang ini.Entah kenapa aku bagaikan
terasa membelakangi kuasa Allah pula.Takutkah aku.
Hipokritkah aku. Entahlah?

Sewaktu mendengar merdu suara biduan yang menyanyikan
bait-bait lagu Salam terakhir
tak terlupa juga lagu Sampaikanlah Salam
Penerimaan jiwa terhadap lagu itu bukan sekadar kepada
lirik dan iramanya, malah akhirnya lagu-lagu itu menjadi
khazanah setelah tanpa menunggu lama untuk diwarisi sebagai
satu pusaka. Bukan lagu itu yang berkuasa ke atas biduan itu.
Kecuali kehendak Allah jua terhadap segala yang berlaku.
Kata Ulamak' Mati itu terlalu dekat' dan kematian itu tak
pernah dikhabarkan bila tarikhnya.

Siapalah penyanyi-penyanyi itu kepadaku. Tetapi lagu salam terakhir
itu bagai bunga-bunga harum yang mulai membelai ruang mimpiku.
Bagai terbayang jasadku terbujur kaku.Lena dalam tidur yang
tidak akan ada jaga lagi di dunia ini.Itulah kali terakhir aku
merasakan sejuk air mandi yang dijiruskan dan dingin balutan
kain kapan.Tentunya sakit saat roh dicabut (yang tidak terbayang
situasinya saat ini) masih terlekat di kerongkong. Pada tulang-
belulang, pada daging dan segenap urat saraf. Ya Allah bantulah
hambaMu ketika saat sakarat itu.

Tinggallah semua. Aku sedang melayari saat kematian.Inilah
khabar yang pernah kudengar dan kubaca. Saat ini aku benar-benar
mengharungi kenyataannya.Kata sesetengah ulamak lagi, mati itu
bagaikan satu daripada kiamat kecil.
Tinggallah. Bukan sekadar suami dan anak cucu,malah banyak lagi
yang tak dapat untuk aku heret ke pusara.

Namaku, pastinya akan masih terlekat diingatan individu yang pernah
hidup di sisiku.Baik buruk menjadi kenangan pahit manis yang tidak
akan padam selagi Allah mengizinkan.Sedarlah aku, kiranya sampai
kepada generasi yang keberapa namaku akan dikenang. Mencatatnya
saat doa arwah akan dibacakan. Zaman selanjutnya pula tinggalah
aku bersama janji tuhan. Setelah mati anak Adam hanya 3 perkara
yang akan menemaninya ketika didalam pusaranya. Amal jariah ......
itu pun kalau ada. Ilmu baik yang pernah diajarkan kepada orang...
itu pun kalau masih ada yang sudi mengamalkan dan Anak soleh......
tentunya yang sentiasa mendoakan.

Kalau ditanya banyak mana amal dan sedekah jariahku? Entahlah.
Nyatanya aku selalu sibuk dengan dunia. Kalau aku ada kelapangan
untuk diri, aku sibuk pula mencari-cari dunia orang lain.
Aku lupa kuburku. Terang atau gelap tidak pernah kusuluh liangnya.
Begitulah hari-hariku yang telah berlalu. Alangkah ruginya aku.
Melupakan usia yang sepatutnya kuperjuangkan selaras dengan
tuntutan agama islam. Kehidupan yang diredhai Allah.
Namun semua bagai aku terlupa dan persiakan sehingga saat itu
terus berlalu bersama usiaku.

Harta milikku. Pusaka yang entah apa-apa nilainya. Daripada yang
sekecil manik hingga sebesar mungkin, tidak terangkat dek kudrat
manusia.Harta yang melambangkan kemampuan membeli yang tidak
terbatas oleh seorang manusia tamak seperti aku.
Aku lupa, di luar sana ada orang masih kelaparan.
Aku tak pernah ambil tahu keperluan mujahid-mujahid islam.
Tidak juga aku tahu ada tangan-tangan yang sentiasa mengharap
bantuan demi menegakkan agama Allah di muka bumi ini.
Dan harta itu kini, setelah aku pergi apakah segalanya menjadi
sedekah yang pahlanya mengalir ke pusaraku nanti.

Buat anak-anak, telah aku kembalikan semula amanah kepadamu.Untuk
menjaga diri,keluarga dan masyarakat dengan memperelok urusan
agamamu.Segala amanah yang Allah tuntut
kepada ibu bapa untuk menjaganya ketika engkau kecil dulu.
Sedaya upaya dengan kudrat tulang empat kerat, kucukupkan
keperluan ilmu dan amalmu.Kudoakan tidur dan jagamu.
Duhai anak ibu bapa tidak mengharap balasan atas segala kepayahan
dan pengorbanan itu.Hanya kami minta taatlah kepada perintah Allah.

Kepada teman-teman yang dikenang.
Buat saudara mara yang disayang,
Aku memohon keampunan jua, kerana segala kesalahanku
adalah kekurangan diri yang tidak mampu untuk kuatasi
dengan iman yang kekurangan ilmu ini.
Halalkanlah segala yang telah kumakan dan yang mungkin aku
terambil dan terlupa kemudiannya.

Suamiku sayang.
Doakan pemergianku ini semoga hidupku di sana dalam ketenangan.
Lupakan sejarah pahit kehidupan bersama dengan kemaafan.
Kenanglah saat manis yang indah agar menjadi titisan pahala
kerana keredhaanmu untuk kupersembahkan kepada tuhanku.
Ingatlah untuk kali terakhir ini,kubisikan sewaktu emgkau
menatap wajah dan menyentuh pipiku
:Aku tak pernah menlupakanmu dan tak pernah
mengakhiri cintaku kepadamu.

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails