skip to main |
skip to sidebar
12.02.2009
Sebutir Mutiara yang pudar cahaya.
Assalammualaikum,
Saya tidak tahu bagaimana hendak berbicara dengan tuan.
Saya kematian akal untuk memulakan cerita yang rasanya
sekadar, prasangka bersarang di hati mazmumah saya.
Mengganggu urusan seharian saya dengan Tuhan pencipta
sekelian alam ini.
Seingat saya, pernah satu ketika dulu beberapa
tahun telah berlalu dan tidak saya ingat lagi
tarikhnya.
Satu majlis kecil diadakan di sekolah.
Sewaktu saya masuk ke bilik audio video,memerhati
program yang sedang berlangsung.Seorang guru muzik
berada di situ. Dia bercerita tentang tuan.
Tentang minat mendalam tuan terhadap muzik
dan kebolehan tuan menyanyi lagu nasyid.
Hari itu juga dikhabarkan tuan akan menyumbangkan
suara untuk sesi lagu-lagu permintaan.
Tidak lama selepas saya keluar dari bilik
itu kedengaranlah nyaring suara tuan
diselangi dengan suara gadis muda mendendangkan
lagu yang saya lupa tajuknya.Iringan muzik yang
dipasang memeriahkan lagi suasana.Gadis itu
seingat saya, sebagaimana yang dikhabarkan oleh
guru muzik itu.Dia adalah pelajar tahun 6 yang
akan menghadapi UPSR tidak berapa lama lagi.
Gadis itu memang memiliki bakat semulajadi
sebagai penyanyi.Suara emasnya telah banyak
kali disumbangkan di majlis-majlis sekolah
mahupun peringkat kampung.
Sebenarnya, ramah guru muzik yang tidak
berselindung itu melancarkan lidah saya untuk
menyebut perkataan "Ustaz Rock".
Spontan saya hanya teringatkan seseorang
dengan gelaran itu.Perkataan itu saya
anggap umum. Tidak saya tujukan khas kepada tuan.
Tidak sangka pula sebutan itu akan sampai
kepengetahuan tuan akhirnya.Lalu saya, menjadi
rosak pulut santan binasa, sebab mulut
badan merana.
Saya tutup saja peristiwa itu di sini.
Saya menganggapnya telah lama berlalu.
Selesai semasa bermaaf-maafan diakhir tahun.
Walaupun kita masing-masing tidak menyebut
kesalahan khusus kita yang pernah menjadi
titik hitam di kepingan hati barangkali.
Begitu pun bersama masa yang masih
mendatang kerana ditakdirkan saya masih
ketemu tuan di lokasi kerja. Saya cuba
menutup mulut dan mata terhadap apa jua
penglihatan pancaindera saya terhadap tuan.
Semua saya diamkan dan pendam seperti
saya tidak pernah melihat tuan layaknya.
Namun saya salah rupanya.
Saat saya menyepi tanpa bunyi, ada suara
riuh . Hinggar-binggar kedengarannya.
Namun saya tetap saya. Tanpa peduli saya
sumbat mulut dan telinga saya.Untuk apa saya
ikut bising bagai lalat hijau menghurungi
bangkai layaknya.Silap hari bulan saya yang
akan jadi punca fitnahnya.
Tanpa saya duga,sekali lagi saya tersilap.
Ingat pagi itu, sebelum rehat. Tuan datang
berjumpa guru perempuan yang sedang duduk
di hadapan saya.Bising-bising antara kuat
dengan perlahan bunyinya. Perkataan yang
disebut ada yang cukup jelas di telinga.
Tuan menyebut, Kalau tak silap lebih kurang:
"Budak tahun 6 tu anak-anak lagi, saya
anggap seperti anak saya sendiri. Salah
ke saya?
Persoalan tuan itu menjadi persoalan saya
akhirnya,kerana saya tidak terus
bertanya dan tiada orang yang bercerita
selepasnya.
Apa masalah tuan?
Apakah peristiwa bising-bising tempoh
hari telah menyebabkan tuan ditegur
pentadbir.
Siapa yang penyampai dan kepada siapa
aib itu dibuka.
Sekarang siapa pula yang menjadi
kambing hitamnya.
Saya. Saya yang berseorangan petang
kejadian itu?
Entah, saya cuma mampu angkat bahu.
Sekali lagi selepas aduan tuan itu,
tuan menghampiri seorang guru lelaki
yang kebetulan duduk tidak sampai 2
meter jaraknya dari saya. Tuan bising-
bising lagi.Saya juga masih mampu
mendengarnya.Kali ini tuan menyebut-
nyebut keburukan orang yang menjadi
pembawa fitnah sebagai seorang yang
tidak disukai oleh tuan guru besar.
Tidak disukai kerana tidak suka bertugas
di sekolah pada waktu malam.
Sekali lagi saya tertanya-tanya diri
sendiri.
Sayakah penyebar fitnah itu?
Segalanya menjadikan saya fobia untuk
tersilap langkah dengan tuan. Saya takut
kalau dikatakan memusuhi dan mendengki
tuan.Oh, Tuhan!
Malah sejak akhir-akhir ini, saya dapati
tuan banyak bertazkirah di perhimpunan
pelajar.Setiap kali itu juga tuan tidak
lupa berpesan:
" jaga mulut, jangan dengki, jangan
membuat fitnah............."
Terima kasih pesan keagamaan dari tuan.
Tentunya untuk semua guru dan saya juga.
Tuan ilmuan, ibarat mutiara yang
digilap di luar negara. Bumi para anbia'.
Siapalah saya,cuma mahluk kerdil yang
daif segala. Sehingga rasanya saya tidak
mampu untuk bersangka terhadap ucapan tuan.
Maafkanlah saya.
Hanya ini yang dapat saya coretkan
untuk tuan. Terlalu besar harapan saya
agar warkah pembela rentetan hati tidak
menjadi lagenda keji saya zaman ini.
Sekian, Wassalam.
Yang benar,
Id.
Aku lipat kemas surat tak beralamat itu.
bagaikan aku yang hilang tujuan kerana
karam dalam persoalan yang tak berani
kubongkar secara lisan.
Dimanakah akan aku selitkan surat hodoh
ini?
(UP; Karya ini hanya ciptaan semata-mata.
Tiada kena mengena dengan yang hidup
atau yang telah mati.Anda para pembaca
dilarang memindahkannya dalam apa bentuk
jua).
0 ulasan:
Post a Comment